Lelaki maut, motosikal terbabas masuk dalam parit

Anggota bomba mengangkat motosikal yang menghempap mangsa.

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Jan 28: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui mati di dalam parit selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan di Jalan Punai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Gana Peter, 27.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.56 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dihempap oleh motosikalnya di dalam parit berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian mengangkat mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat selepas mayat mangsa dibawa ke hospital pada pukul 8.15 pagi,” katanya. — DayakDaily