SIBU, Dis 25: Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Salim, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Sii Pang Hoe, 62, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan pada anggota badannya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Salim ke pusat bandar Sibu.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan berkenaan.
“Kesan pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan terjatuh lalu mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badannya.
“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian cuba membantu, namun mangsa sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bingkok menambah, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily