BAU, April 30: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah van di Jalan Kampung Grogo di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa yang maut ialah, Frances Casesedy Minie, 39, dari Kampung Bobak, Singai di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah bandar Bau dan menuju ke Singai di sini.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah van yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan mangsa hingga mengakibatkan kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun sedang mengekori dua buah kereta di hadapannya.
“Namun, apabila sebuah kereta berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan dan sebuah lagi berhenti secara tiba-tiba, pemandu van yang terkejut lalu menekan brek dan mengelak ke sebelah kanan dan berlanggar dengan motosikal mangsa di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alexson menambah, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily