Lelaki maut, kereta terbabas di Jalan Serian-Sri Aman

Anggota Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SERIAN, 8 Sept: Seorang lelaki maut dalam kemalangan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus, Jalan Serian-Sri Aman hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.31 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Fortuner yang telah melanggar belakang lori dan seterusnya hilang kawalan serta terbabas ke dalam parit.

“Seorang mangsa masih tersepit dalam kenderaan tersebut dan pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 52 tahun dan berasal dari Sibu.

Siasatan polis berhuhung kemalangan tersebut masih dijalankan. — DayakDaily