KUCHING, Mac 30: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Jalan Demak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Kuan Kuek Hui, 27, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada muka dan dadanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak di sini pada pukul 6.15 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta Perodua Kenari dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah pusat bandar raya dari Jalan Demak di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa dikatakan gagal mengawal keretanya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan di situ.
“Impak perlanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, manakala bahagian depan keretanya remuk teruk.
“Orang awam yang kebetulan berada di lokasi insiden kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, semasa kemalangan, mangsa tidak disyaki di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, ketika kejadian, cuaca dan keadaan permukaan jalan raya adalah baik.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily