Lelaki maut, kereta dipandu terlanggar pokok di Jalan Paradom, Sibu

Keadaan kereta mangsa yang rosak teruk di bahagian hadapan.

SIBU, 7 Nov: Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Paradom, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata PGO Sarawak menerima panggilan kecemasan berlakunya kemalangan tersebut sekitar jam 7.42 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang telah terlanggar pokok di bahu jalan.

“Perlanggaran tersebut menyebabkan kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Pemandu kereta yang berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Augustine Langan Pas beralamatkan dari Sungai Sian, Bintangor. — DayakDaily