Lelaki maut, isteri selamat dalam nahas jalan raya

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari kereta.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Jun 2: Seorang lelaki menemui ajal, manakala isterinya selamat selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Sadong Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Tan Kuan Soo, 59, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.59 pagi.

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Axia telah terlibat kemalangan kendiri dan masuk ke dalam parit.

“Pemeriksaan mendapati, si suami masih tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isterinya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap bomba menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat selepas mayat mangsa dihantar ke hospital,” katanya. — DayakDaily