Lelaki maut dalam nahas dua kenderaan

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan dua kenderaan.

Oleh Dean Adam

BAU, Mac 24: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah kereta di KM 1, Jalan Bau-Serikin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa, Edmund Teo Kho Chiew dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Kembara dan Proton Persona.

Katanya, kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu lelaki berusia 54 tahun.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut terbakar.

“Kedua-dua pemandu kenderaan tersebut pula sempat keluar menyelamatkan diri, namun mangsa dalam keadaan parah,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily