Lelaki maut dalam nahas babitkan tiga kenderaan

Keadaan kemalangan melibatkan tiga kenderaan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Jan 8: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas kereta yang dipandu terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Nansang, Pakan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Jalin Bungap meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 1.32 petang.

Jelasnya, sejurus menerima panggilan itu, sepasukan enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan kereta Perodua Axia, Perodua Myvi dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu Perodua Axia itu dalam keadaan tersepit, manakala tiada mangsa tersepit dalam dua lagi kenderaan lain,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Tiong menambah, mangsa yang tersepit kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa pasukan polis ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.45 petang,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement