Oleh Dean Adam
KUCHING, Jun 30: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia terkorban selepas terlibat dalam kemalangan di KM12, Jalan Kota Samarahan-Mambong, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu mengakibatkan mangsa, Noordin Ahmad, yang berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Senyawan, Serian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan menuju ke arah Kota Samarahan dari Serian.
“Namun, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. — DayakDaily