Wanita tempatan tak serik dicekup, diberkas sekali lagi disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Dadah yang dirampas daripada seorang wanita tempatan.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Jun 30: Seorang wanita tempatan direman selama empat hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, wanita yang berusia 35 tahun itu ditahan reman sehingga Julai 3 ini bagi membantu siasatan kes.


Katanya, suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah telah dicekup polis pada Jun 28 lepas.

“Suspek tersebut ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa di sini.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas ketulan syabu dengan anggaran berat kasar 5.70 gram daripada suspek,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, anggaran harga ketulan syabu yang dirampas adalah sebanyak RM855.

Ujar beliau, hasil saringan awal air kencing suspek adalah positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952.

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang daripada 2 tahun, tetapi tidak lebih daripada 5 tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat, tidak kurang daripada 3 sebatan dan tidak lebih daripada 9 sebatan,” katanya. ā€” DayakDaily