Lelaki maut dalam kemalangan kendiri di Serian

Kereta mangsa dialihkan dari lokasi kejadian.

SERIAN, 12 Mac: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Kilometer 42 Jalan Kuching-Serian hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 6.35 pagi.

Katanya, mangsa berusia 28 tahun semasa kejadian memandu kereta tersebut dari arah Kuching menuju ke Serian.


“Siasatan mendapati kenderaan dipercayai hilang kawalan sehingga telah melanggar besi pembahagi jalan dan seterusnya melanggar simen konkrit hujung jambatan Sungai Samarahan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak keluar di tepi jalan atas Jambatan Sungai Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Serian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily