Lelaki maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Tun Jugah

Keadaan kenderaan mangsa selepas kemalangan tersebut semalam (26 Sept 2021).
Advertisement

KUCHING, 27 Sept: Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Tun Jugah, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 22 tahun dan berasal dari Taman Sentosa Batu 7.

Beliau memberitahu, mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Proton Ertiga menghala ke Jalan Lapangan Terbang sebelum terbabas lalu merempuh pokok dan tiang lampu pada jam 9.30 malam.

Advertisement

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk ujian Covid-19 sebelum bedah siasatan dijalankan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement