IPD Padawan: Dua lelaki ditangkap disyaki terlibat mengedar dadah di Stapok

Gambar komposit menunjukkan kedua-dua suspek dan dadah yang dirampas.

PADAWAN, 27 Sept: Dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditangkap dalam satu operasi di Jalan Stapok, di sini pada 24 September lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kedua-dua suspek berusia 25 dan 28 tahun merupakan warga tempatan.

Katanya, mereka ditangkap di kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah apartmen sekitar jam 9.15 malam.


“Dalam operasi tersebut, polis telah merampas sebuah bungkusan plastik hitam yang mengandungi lima paket bertulis ‘Papaya Milk’ berisi campuran serbuk disyaki dadah Ecstasy dianggarkan seberat 225.35 gram dan bernilai sekitar RM3,250,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati suspek pertama yang dipercayai bertindak sebagai penghantar (‘runner’) mengambil upah RM20 bagi setiap paket yang dihantar.

“Saspek pertama mengaku berkerja sebagai ‘runner’ iaitu menghantar pesanan dadah kepada pelanggan.

“Satu peket jus berisi campuran dadah jenis Ecstasy dijual dengan harga RM650 dan suspek hanya mengambil upah sebanyak RM20 bagi setiap peket yang dijual,” katanya.

Malah suspek juga tidak mengutip sebarang bayaran dari pelanggan kerana pelanggan membayar secara terus kepada ‘tauke’.

“Manakala saspek kedua merupakan pelanggan yang kebetulan datang mahu membeli dadah daripada saspek pertama,” katanya.

Hasil saringan air kencing juga didapati saspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala saspek kedua keputusan adalah negatif.

Kedua-dua suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini juga sedang berusaha mengesan ‘tauke’ yang dimaksudkan oleh suspek pertama tadi dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh tampil membantu siasatan,” kata Aidil. — DayakDaily