Lelaki maut dalam kemalangan jalanraya di Kg Siniawan Lot

Kelihatan tempat kejadian pertembungan kereta yang dipandu mangsa dan 4WD di Kampung Siniawan Lot.

KUCHING, Sept 29: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Kampung Siniawan Lot, Jalan Bau-Kuching sekitar pagi tadi.

Mangsa, Yene Kenji Dohek, 20, meninggal di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD).

Dua lagi lelaki yang menaiki kenderaan jenis 4WD tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.


Menurut maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, laporan kejadian diterima pada jam 11.45 pagi.

Lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bau dikerahkan ke lokasi kejadian diketuai Komander Operasi, Tiwi Nios.

Setiba di lokasi kejadian, anggota Bomba mendapati mangsa telah dikeluarkan dari kenderaannya dan diletakkan di bahu jalan oleh orang awam.

Pegawai perubatan dari Hospital Bau yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Kerja-kerja pembersihan serpihan kaca dan minyak dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada tangki jentera bagi memastikan keadaan di lokasi selamat. Operasi tamat pada jam 12.59 tengah hari tadi. ā€” DayakDaily