Lelaki maut atas pokok, disyaki akibat renjatan elektrik

Pasukan bomba menurunkan mangsa dari atas pokok.

KANOWIT, 11 Sept: Seorang lelaki ditemui mati disyaki terkena renjatan elektrik ketika sedang memanjat pokok di Jalan Lukut-Penyulau semalam (Sept 10).

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.59 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Kanowit yang hadir di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok pada ketinggian kira-kira 35 kaki.


Jelasnya, Bomba terpaksa mendapatkan bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu.

“Ketika kejadian, hujan renyai menyukarkan lagi usaha untuk menurunkan mangsa disebabkan pokok licin serta berhampiran dengan kabel elektrik.

“Selepas bekalan elektrik diputuskan dan dengan bantuan ‘Hydraulic Sky Lift Crane Cage’ milik kontraktor Sarawak Energy Berhad (SEB), mangsa telah berjaya diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Mayat mangsa yang berusia 52 tahun itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – DayakDaily.