Lelaki lesap wang simpanan sebanyak RM487,000 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 15: Seorang lelaki terpaksa berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM487,000 lesap akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, semua wang yang lesap itu merupakan simpanan keluarga untuk mangsa yang berusia 20-an tersebut.


Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang juga seorang penjawat awam telah menerima panggilan daripada suspek kononnya mengatakan mangsa mempunyai bayaran kad kredit tertunggak pada April 7 lepas.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan ke IPK Terengganu di mana mangsa dituduh terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah dan pecah amanah.

“Suspek kemudian menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah mangsa itu dengan mengarahkan dia membuka akaun bank baharu kononnya untuk siasatan juruaudit negara,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, selepas membuka akaun baharu, mangsa seterusnya menyerahkan butiran perbankan Internet akaun itu kepada suspek tanpa berfikir panjang.

“Mangsa akhirnya sedar bahawa dirinya ditipu selepas mendapati wang dalam simpanannya sebanyak RM487,000 telah lesap pada April 14 lepas.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily