Lelaki kempunan miliki motosikal Kawasaki Ninja, ditipu RM4,700

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 11: Niat seorang lelaki untuk memiliki sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc tidak kesampaian apabila dia terpedaya dengan kes penipuan pembelian secara dalam talian.

Kes yang dilaporkan semalam itu melibatkan seorang pekerja am berusia 20 tahun yang kerugian sebanyak RM4,700.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, pada 2017 mangsa telah melayari laman sosial Facebook (FB) untuk mencari seseorang yang hendak menjual motosikal.

Katanya, mangsa kemudian telah mengenali seorang lelaki melalui FB menggunakan nama “Eastzsmilar jay Junior” yang membuat promosi mahu menjual motosikal Kawasaki Ninja 250cc berwarna hitam.

“Lelaki itu kemudian telah menawarkan harga motosikal itu sebanyak RM7,000 dan mangsa bersetuju dengan harga tersebut serta bayarannya dibuat secara ansuran.

“Seterusnya, pada Julai 2017, mangsa telah berjumpa dengan suspek di kawasan Servay Taman Tunku Miri dan mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,000 sebagai bayaran pendahuluan,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada petang hari yang sama, suspek telah mengajak mangsa melihat motosikal itu di kawasan perumahan Padang Kerbau Bridge No. 1, Jalan By Pass.

Selepas itu ujarnya, mangsa telah membuat bayaran keseluruhan RM3,700 ke dalam akaun BSN atas nama Ismail Jaini melalui sembilan kali transaksi.

“Kali terakhir bayaran dibuat pada 10 November tahun lepas. Mangsa mula menyedari telah ditipu selepas tidak menerima motosikal pada tarikh yang dijanjikan, malah nombor telefon lelaki itu juga tidak dapat dihubungi lagi.

“Mangsa juga mendapati motosikal tersebut tiada lagi di kawasan Perumahan Padang Kerbau Bridge No. 1, Jalan By Pass dan suspek tidak lagi tinggal di situ kerana rumah berkenaan telah disewa oleh orang lain,” katanya. — DayakDaily