Oleh Brad Rantayy
MIRI, 10 Jan: Perbuatan seorang lelaki melarikan beberapa barangan kemas dan wang tunai bernilai RM400 milik ibunya membawa padah, apabila dia ditahan pihak polis petang semalam untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku hujang tahun lepas di sebuah rumah di Tudan, suspek berusia 33 tahun itu turut membawa lari satu tong gas memasak untuk dijual semula bagi mendapatkan wang ‘segera’.
Kejadian disedari ibu suspek yang kemudiannya tampil membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, sebaik sahaja menerima laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah berjaya menahan suspek dalam satu operasi dinamakan Ops Kesan.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 5.20 petang semalam di sebuah rumah di Tudan Desaras.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut berhubung kejadian. — DayakDaily