Lelaki jatuh sungai sejak lima hari lepas belum ditemui

Anggota bomba sedang berusaha mencari mangsa yang dilaporkan hilang.
Advertisement

Oleh Dean Adam

TATAU, Okt 30: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan dihanyut arus sungai di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau di sini masih belum menemui petunjuk positif setakat ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi SAR yang memasuki hari kelima masih belum menjumpai mangsa, Zaidiya Zaini, 34.

Advertisement

Katanya, pasukan SAR masih menggunakan teknik mencari di permukaan sungai setakat ini, namun masih menemui jalan buntu.

“Operasi pencarian ditangguhkan pada pukul 5.10 petang dan akan disambung esok.

“Selain bomba, pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut terlibat dalam operasi ini,” katanya di sini hari.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang mencari besi di bawah sebuah jambatan di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau di sini dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

Tiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.01 petang.

Jelasnya, sejurus mendapat maklumat insiden itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat daripada adik mangsa, sebelum kejadian mangsa sedang menjalankan aktiviti mencari besi di bawah jambatan tersebut.

“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila mangsa dibawa arus sungai yang deras sebelum kelibatnya hilang,” katanya. — DayakDaily

Advertisement