Lelaki jatuh di Sungai Kampung Langsat, Padawan ditemui mati lemas

Anggota Bomba berusaha membawa mayat mangsa keluar dari sungai tersebut.
Advertisement

KUCHING, 13 Mei: Seorang lelaki dewasa yang dilaporkan tergelincir semasa hendak mandi di sungai di Kampung Sungai Langsat di Jalan Kuching-Serian Lama ditemui mati.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat mangsa ditemui hanyut kira-kira tujuh meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

Jelasnya, mayat mangsa ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari oleh Unit PPDA Bomba.

Advertisement

“Unit PPDA Bomba melakukan selaman dan pencarian di sekitar radius 15 meter dari tempat dia disyaki terjatuh dan berjaya menjumpai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Kampung Kujang Mawang, Tebedu.

Difahamkan mangsa semasa kejadian hendak mandi di sungai tersebut dan telah tergelincir.

Laporan berhubung kejadian diterima pada jam 9.44 pagi dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikerahkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). — DayakDaily

Advertisement