Lelaki Indonesia jatuh dari wharf ditemui lemas

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mac 16: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan terjatuh dari Wharf Rantau Panjang di sini ditemui lemas hari ini.

Mangsa, Bertolomeus Ngaji, 48, ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 9.40 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sebelum ini pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.46 pagi.

Sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Sungai Merah dan BBP Sibu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa berjaya dijumpai oleh pihak bomba pada pukul 9.40 pagi dengan menggunakan kaedah ‘gripping iron’. Jarak mangsa ditemui ialah kira-kira 2 meter dari wharf tersebut,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba memeriksa keadaan mangsa.

Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 9.50 pagi,” katanya. — DayakDaily