BINTULU, 19 Sept: Seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya di Sungai Semba, Samalaju di sini masih belum dijumpai sehingga lewat petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa akan disambung semula esok selepas ditangguhkan pada jam 5 petang tadi atas faktor keselamatan.
Katanya, kaedah pencarian mangsa berusia 36 tahun itu adalah ‘water surface’ dan jarak dalam lingkungan 1 kilometer dari lokasi kejadian.
“Setakat jam 5 petang, tiada penemuan dan sebarang pertunjuk menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan dan akan disambung esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Hermanto semasa kejadian bersama seorang rakannya sedang memancing di tebing sungai tersebut.
“Saksi menyatakan mangsa berada 1 kaki dari tebing sungai dan tidak lama kemudian mangsa telah disambar buaya.
“Saksi menyatakan kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berlaku sekelip mata,” katanya.
Operasi SAR mangsa terus dilancarkan sebaik sahaja laporan dibuat sekitar jam 11.20 malam.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bersama dikerahkan ke lokasi kejadian. — DayakDaily