Rumah di Kpg Subak di Bekenu terbakar, 16 orang hilang tempat berteduh

Keadaan di lokasi kejadian.

MIRI, 19 Sept: Empat keluarga hilang tempat berteduh apabila rumah mereka di Kampung Subak, Bekenu musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.54 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melihatkan sebuah rumah jenis dua tingkat dan terdapat juga dua buah kenderaan pacuan empat roda serta dua motosikal yang turut terbakar.

“Anggota bomba kemudian terus memadam kebakaran dengan membentang dua aliran salur bantu mula.

“Teknik pemadaman ‘defensive’ dengan sumber air dari pili bomba untuk memadam kebakaran sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, rumah tersebut didiami empat buah keluarga terdiri daripada 16 orang.

“Kebakaran tiada melibatkan sebarang kecederaan,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.30 petang.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement