Lelaki Indonesia hilang disedut ke dalam lubang pembentung

Operasi mencari mangsa dengan menggunakan jentolak.
Advertisement

BINTULU, Mei 29: Malang menimpa seorang lelaki warga Indonesia apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Siod, Ladang Sebubu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Nor Alam, 26.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Winston Tan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 2.40 petang.

Advertisement

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diterima, saksi mendakwa ada melihat mangsa sedang mandi bersama seorang lagi rakannya.

“Saksi kemudian mendakwa mangsa dan rakannya tiba-tiba disedut ke dalam sungai.

“Namun salah seorang sempat diselamatkan oleh kawan-kawan mangsa, manakala mangsa terus disedut ke dalam lubang pembentung di dasar sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Winston menambah, usaha pencarian diteruskan namun agak sukar kerana dihalang oleh lubang pembentung yang agak panjang ke dasar sungai dan dimaklumkan juga arus sungai sangat deras dan sukar dalam usaha awal.

Katanya, bantuan menggunakan jentolak juga digunakan untuk memecahkan pembentung namun masih gagal mengesan mangsa.

“Oleh kerana arus yang semakin deras dan cuaca yang tidak mengizinkan usaha pencarian ditangguhkan pada pukul 5.52 petang.

“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi akan disambung keesokan hari,” katanya. — DayakDaily

Advertisement