Lelaki Indonesia hilang dan dikhuatiri maut terkena ‘propeller’ kapal

Operasi mencari mangsa giat dilakukan.
Advertisement

KUCHING, Jun 6: Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut selepas disyaki terkena ‘propeller’ atau kipas sebuah kapal di Muara Sungai Tabuan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Herianto Ramli, 53, dari Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia dilaporkan hilang selepas dikatakan membuat pemeriksaan ‘propeller’ kapal Ocean Glory yang rosak.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan laporan kapten kapal itu, dia telah menyuruh salah seorang kru kapal untuk melakukan pemeriksaan ‘propeller’ kapal yang mengalami kerosakan.

Advertisement

Katanya, selepas membuat kerja-kerja pemeriksaan, kru kapal berkenaan kemudian naik semula ke atas kapal sebelum dia kapten kapal itu menghidupkan enjin kapal terbabit.

“Bagaimanapun, setelah menghidupkan enjin kapal berkenaan, salah seorang kru kapal kemudian melihat terdapat kesan darah di permukaan sungai itu.

“Kapten kapal tersebut kemudian mengarahkan kru kapal membuat pemeriksaan sebelum mendapati mangsa tidak berada di atas kapal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kapten kapal berkenaan mengesyaki mangsa telah turun dari kapal dan tanpa disedari terkena kipas kapal itu semasa kapten menghidupkan enjin kapal.

Katanya, buat masa ini mangsa masih gagal ditemui.

“Operasi mencari dan mengesan mangsa giat dilakukan ketika ini,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement