Lelaki Indonesia ditemui mati lemas

Operasi SAR mencari seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang.
Advertisement

BINTULU, Mei 29: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Siod berhampiran Ladang Sebubu semalam ditemui mati lemas malam tadi.

Mangsa, Nor Alam, 26, ditemui kira-kira pukul 9 malam oleh pekerja ladang kelapa sawit di situ.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Hambali Mohamad berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 100 meter dari hujung lubang pembentung di sungai berkenaan.

Advertisement

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh penyelia ladang tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya selepas mayat mangsa dibawa ke hospital,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan malang menimpa seorang lelaki warga Indonesia apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Siod, Ladang Sebubu di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Nor Alam, 26.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 2.40 petang.

Berdasarkan maklumat yang diterima, saksi mendakwa ada melihat mangsa sedang mandi bersama seorang lagi rakannya.

Saksi kemudian mendakwa mangsa dan rakannya tiba-tiba disedut ke dalam sungai.

Namun salah seorang sempat diselamatkan oleh kawan-kawan mangsa, manakala mangsa terus disedut ke dalam lubang pembentung di dasar sungai. — DayakDaily

Advertisement