Lelaki Indonesia ditahan selepas teman wanita, 15, bersalin

Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 Dis: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan pihak polis semalam selepas teman wanitanya berusia 15 tahun melahirkan bayi hasil hubungan mereka di Hospital Miri.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol, perempuan tersebut yang merupakan warga tempatan, telah selamat melahirkan anak semalam.

“Tangkapan dibuat selepas bapa remaja perempuan berkenaan tampil membuat laporan polis,” ujar Sabri.

Lelaki warga Indonesia berasal dari Kalimantan Barat itu, 24, ditahan sekitar jam 7.30 malam di perkarangan Hospital Miri oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Semasa suspek ditahan, remaja perempuan terbabit masih lagi di dalam wad bersalin.

Difahamkan suspek telah masuk ke Malaysia pada bulan May tahun 2015 dan bekerja sebagai buruh binaan di Jalan Nasturium 2B Riam Miri.

“Suspek mengenali mangsa pada tahun 2017 kerana mangsa bekerja di tempat yang sama dengan saspek dan tinggal bersama dari bulan Oktober tahun 2019,” ujar Sabri.

Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku ada melakukan hubungan seks dengan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol. — DayakDaily