Lelaki Indonesia diberkas disyaki miliki wang tunai dan barangan kemas secara salah

Gambar komposit menunjukkan barangan rampasan daripada suspek.

SERIAN, Ogos 12: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia selain merampas pelbagai barangan kemas dan wang tunai dalam satu serbuan di Tebedu di sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai berkata, suspek berusia 27 tahun yang ditahan itu berasal dari Kampung Lasain Kabupaten Mflaka Bilu, Indonesia.

Katanya, menerusi pemeriksaan ke atas badan suspek anggota PGA telah menemui pelbagai wang tunai sebanyak RM3,075 daripada suspek.


“Hasil pemeriksaan lanjut menemui barangan kemas, telefon bimbit, subang, rantai emas dan cincin yang dianggarkan berjumlah RM6,500,” katanya di sini hari ini.

Rosdi menambah, ditanya bagaimana suspek memperoleh wang tunai serta barangan kemas banyak, lelaki berkenaan gagal menyatakan pernyataan yang munasabah.

Jelasnya, anggota PGA kemudian menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati dokumen perjalanan suspek juga telah tamat tempoh.

“Kami percaya kesemua barangan yang dirampas daripada suspek terbabit dipercayai diperoleh daripada jalan salah,” ujarnya.

Sambil menambah, suspek sudah dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily