Oleh Dean Adam
KUCHING, Julai 11: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang menangkap ketam sejak 8 Julai lepas, ditemui selamat hari ini.
Mangsa, Wan Kamaruddin Wan Mohammad, 30, ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Tan Min Chai, berkata mangsa ditemui di Kampung Bukit Baki.
Katanya, mangsa dikatakan sesat selepas gagal menemui jalan keluar dari hutan sehingga dia berjaya keluar dari kawasan hutan berkenaan tengah hari tadi.
“Keadaan mangsa lemah kerana tidak makan selama dua hari dan mengadu sakit bahagian dada kerana terjatuh,” katanya di sini, hari ini.
Tan menambah, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat tamat pada pukul 2.08 petang,” ujarnya. — DayakDaily