PAKAN, 22 Mei: Seorang lelaki ditemui mati lemas di sungai berdekatan Rumah Mawan, Lubok Sagau, Ulu Pedanum, di sini semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dilaporkan hilang di sungai tersebut semasa menjalan ikan bersama tiga rakannya.
Katanya, mangsa terpaksa menyelam ke dalam sungai tersebut apabila jala mereka tersangkut dan mangsa tidak timbul-timbul selepas itu.
Rakan mangsa cuba menyelamat mangsa namun tidak berjaya dan terus memaklumkan kepada penduduk kampung dan laporan kehilangan mangsa juga dibuat pada jam 1.20 petang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilancarkan penduduk kampung bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, pihak polis dan RELA.
Mangsa berjaya dijumpai kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 4.15 petang.
Seterusnya mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily