Lelaki hilang semasa mendaki Gunung Singai

Lokasi terakhir yang dikemaskini oleh mangsa.

BAU, Sept 18: Seorang lelaki dilaporkan hilang setelah gagal dikesan selepas mendaki Gunung Singai di sini semalam.

Mangsa, Stanley Kho, 22, dikhuatiri masih hilang di hutan gunung tersebut setakat pukul 11.50 malam tadi.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada rakan mangsa pada pukul 4.35 petang.


Katanya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Bagaimanapun, setakat pukul 11.50 malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal mengesan jejak mangsa.

“Operasi mencari mangsa tersebut disambung semula hari ini,” katanya di sini hari ini.

Ebby menambah, berdasarkan maklumat daripada rakannya, mangsa dikatakan hanya seorang diri naik ke gunung tersebut pada pukul 8.30 pagi.

Jelasnya, kenderaan yang dipandu mangsa masih di tempat parkir sehingga kini dan gagal dihubungi.

“Rakannya sebelum itu telah menghubungi telefon bimbit mangsa, namun panggilan tidak dijawab, sehinggalah kali terakhir komunikasi dihubungi pada pukul 10.05 pagi (semalam) serta maklumat kemaskini status pada aplikasi WeChat.

“Setelah lama menunggu serta tiada panggilan dijawab, rakan mangsa bersama tiga individu lain naik ke gunung bagi mencari mangsa pada pukul 4 petang,” katanya.

Sambil menambah, setelah usaha mencari mangsa gagal, rakan mangsa kemudian menghubungi BBP Bau untuk memohon bantuan khidmat bomba. — DayakDaily