Oleh Dean Adam
MARUDI, Dis 7: Seorang lelaki yang hilang semasa dalam perjalanan pulang dari dusun durian dengan menggunakan perahu pada Rabu lepas ditemui mati lemas di Sungai Baram berhampiran Long Pilah di sini hari ini.
Mangsa, Lian Ngau, 55, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 6.30 pagi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata mangsa dijumpai dalam keadaan terapung di sungai berkenaan kira-kira 100 meter dari kawasan dia dilaporkan hilang sebelum ini.
Jelasnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke darat untuk tujuan pengecaman oleh ahli keluarganya.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua ditamatkan pada pukul 7 pagi,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, sebelum itu keadaan air sungai yang cetek dan berbatu menyukarkan operasi menyelamat serta pergerakan bot.
Bagaimanapun ia tidak menghalang bagi pasukan SAR melakukan operasi sehingga berjaya menemui mangsa.
DayakDaily sebelum ini melaporkan perjalanan pulang sepasang suami dan isteri ke rumah panjang dari dusun durian berakhirnya tragedi apabila si suami dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki mereka karam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa dilaporkan hilang apabila dihanyut arus sungai yang deras selepas perahu yang dinaiki melanggar kayu sebelum karam.
Berdasarkan maklumat diterima, isteri mangsa selamat selepas sempat berpaut pada sebatang kayu yang hanyut.
Namun, malang bagi mangsa apabila dia terus dibawa arus sungai yang deras sebelum kelibatnya hilang. — DayakDaily