Lelaki hilang pasang jerat ditemui mati tepi sungai

Keadaan mangsa yang ditemui mati di tepi sungai.
Advertisement

SERIAN, Dis 24: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas keluar memeriksa jerat yang dipasangnya di kawasan hutan Kampung Mang Besi di sini pada Jumaat lalu akhirnya terungkai apabila warga emas itu ditemui mati, hari ini.

Mangsa, Bahet Ten, 55, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Lebih memilukan, mangsa ditemui dalam keadaan meniarap di tepi Sungai Reban di sekitar kawasan hutan di kampung berkenaan.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, ketika ditemui mangsa dikatakan sudah tidak bernyawa lagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan di sekitar kawasan kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Aswandy memberitahu, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 9.51 malam semalam.

Katanya, sebelum itu, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya pada pukul 4 petang, Jumaat lalu.

“Susulan laporan diterima, pasukan menyelamat yang dianggotai polis, Bomba, Rela dan penduduk kampung terus melancarkan gerakan mencari mangsa,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement