Lelaki hilang lepas pergi jual buah ditemui mati lemas

Anggota bomba membawa mayat mangsa yang ditemui mati lemas.

BINTULU, Jan 24: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjual buah di SK Kuala Kebulu pada Isnin lalu ditemui mati lemas di Sungai Tubau di sini hari ini.

Mangsa, Pengabang Serai, 74, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 1.05 petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 70 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum itu.


Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke dalam bot sebelum dihantar ke jeti Pekan Tubau dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah panjang di Sungai Mengkapan, Jelapong di sini untuk mengumpul buah dan menjual buah kira-kira pukul 4 petang.

“Bagaimanapun, selepas selesai menjual buah, mangsa dikatakan balik ke rumah panjang di situ kira-kira pukul 7 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, keluarga mangsa mendakwa ada terdengar bunyi sesuatu yang kuat melanggar perahu yang berada di pangkalan sungai tersebut.

Katanya, ahli keluarga yang merasa curiga dengan bunyi kuat itu terus pergi ke pangkalan untuk kepastian dan menemui perahu mangsa di hilir pangkalan di situ.

“Namun, mereka mendapati mangsa tiada berada di dalam perahu lalu mereka membuat pencarian namun mangsa gagal ditemui.

“Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa sebelum pihak polis memaklumkan kejadian itu kepada bomba,” katanya lagi. — DayakDaily