Lelaki hilang dibawa arus sungai ditemui mati lemas

Pasukan SAR membawa mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

SRI AMAN, Julai 12: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Ulu Skrang semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Faizal Ibrahim, 28, ditemui dalam keadaan terapung di sungai tersebut oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung kira-kira pukul 12.29 tengah hari.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat lelaki malang tersebut dijumpai kira-kira 1 kilometer (km) dari tempat dia dilaporkan hilang sebelum itu.


Katanya, pasukan SAR kemudian membawa mayat mangsa balik ke Rumah Panjang Mujan Ulu Skrang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 1 petang.

“Selain pasukan bomba dan penduduk kampung, operasi SAR tersebut juga disertai pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, semasa kejadian semalam, mangsa dikatakan ingin mencabut paku pada kayu yang telah ditebangnya.

Namun katanya, mangsa tidak membawa tukul bersama dan terus berenang ke seberang sungai untuk mengambil tukul.

“Semasa berenang ke seberang, mangsa dipercayai dalam keadaan terkapai-kapai sebelum terus hilang dibawa arus sungai yang deras,” katanya. — DayakDaily