This Content Is Only For Subscribers
TATAU, 12 Sept: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dikatakan terjun di Sungai Tatau, di sini pada Ahad lepas ditemukan mati hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa ditemui terapung oleh pemancing pada jam 4.40 petang berdekatan Jambatan Batang Tatau iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian.
“Pihak bomba bergerak ke lokasi penemuan untuk mengambil mayat mangsa di bawah jambatan tersebut dan telah menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua hari ini ditamatkan pada jam 6 petang.
Mangsa dikenali sebagai Iharani Kassim berusia 36 tahun.
Sebelum ini mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan terjun ke dalam sungai tersebut sekitar jam 11 malam pada 10 September.
Kejadian tersebut disaksikan abang ipar mangsa yang kemudian memulakan pencarian mangsa bersama ahli keluarga yang lain namun masih belum dijumpai.
Operasi SAR dilancarkan selepas laporan dibuat. — DayakDaily