Lelaki hilang di Santubong ditemui mati di pantai Kampung Trombol.
KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang di laut semasa menghantar bot dari Santubong ke Kampung Lundu pada 3 Januari lalu ditemui mati di Pantai Kampung Trombol, di sini hari ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan.
Difahamkan, mayat Samsudin Beden,59 tahun ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 6.20 pagi dan disahkan adalah mangsa oleh keluarganya yang turut hadir di lokasi penemuan.
“Susulan penemuan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keenam hari ini ditamatkan pada jam 10 pagi,” katanya.
Mangsa semasa hari kejadian dilaporkan keluar dari rumah pada jam 5.50 pagi untuk menghantar bot ke Kampung Lundu dan gagal dihubungi selepas itu.
Operasi SAR dilancarkan sebaik sahaja laporan dibuat oleh keluarga mangsa.
Operasi hari pertama berjaya menemui bot mangsa yang terdampar di kawasan paya bakau berhampiran Damai Golf Club beserta satu jaket keselamatan, tong ikan, enjin bot serta barang peribadi mangsa.
Operasi SAR tersebut turut disertai Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).