KAPIT, 27 April: Lelaki yang dilaporkan hilang dalam insiden perahu terbalik di ulu Sungai Putai Kapit pada 24 April lalu telah dijumpai mati dipercayai lemas semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata mayat mangsa dijumpai terapung berhampiran jeti Jambatan Sungai Putai sekitar jam 6 petang.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Bon Albert berusia 58 tahun.
Pada 24 April (Isnin) lalu perahu yang dinaiki mangsa bersama tiga lagi rakannya tiba-tiba dimasuki air ketika hujan renyai-renyai semasa dalam perjalanan untuk menangkap ikan di sungai berkenaan sekitar jam 9 malam.
Keadaan air sungai berombak akibat angin kuat telah menyebabkan perahu mereka terbalik dan mangsa hilang dibawa arus deras, manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.
Laporan kehilangan mangsa telah dibuat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas itu. — DayakDaily