Lelaki hilang cari ketam ditemui selamat

Kelihatan mangsa yang ditemui selamat.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Jun 11: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ketam di Kuala Sibukang dekat sini semalam ditemui selamat hari ini.

Mangsa, Jimney Abdullah @ Tan Hui Ming yang berusia 48 tahun dijumpai di kawasan darat kira-kira pukul 7.40 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Limbang, Tawang Lingem berkata, semasa ditemui mangsa dalam keadaan lemah.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Limbang untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua tamat sepenuhnya pada pukul 7.55 pagi,” katanya di sini hari ini.

Semalam DayakDaily melaporkan seorang lelaki yang turun ke laut untuk menangkap ketam dilaporkan hilang di Kuala Sibukang dekat sini.

Mangsa dikatakan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam laut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.15 petang.

Sbelum itu bapa tiri kepada mangsa telah membuat laporan polis menyatakan anaknya dikhuatiri hilang di laut.

“Mangsa dikatakan hilang berkemungkinan terjatuh setelah diberitahu oleh nelayan kampung menjumpai bot sampan mangsa.”

Sebelum itu, mangsa telah keluar bersendirian ke laut pada pukul 6.30 pagi dan bertolak dari Jeti Kampung Sibukang untuk mencari ketam. — DayakDaily