Lelaki ditemui tidak bernyawa di kaki lima Permyjaya

Kelihatan beberapa anggota polis berada di lokasi kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Ogos: Seorang lelaki warga tempatan ditemui terbaring dan tidak bernyawa di kaki lima berhampiran sebuah bistro di Permyjaya awal pagi Ahad.

Penemuan dibuat sekitar jam 9 pagi oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Pihak polis terus dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.

Semakan dan pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan ke atas CCTV premis berdekatan mendapati, lelaki yang berusia sekitar 60-an itu, kelihatan berjalan berseorangan pada malam sebelum ditemui mati di kawasan tersebut.

Sumber menambah, di dalam kilp CCTV tersebut kelihatan lelaki berkenaan terjatuh akibat terlanggar sesuatu sebelum rebah.

Mayat telah dihantar ke bilik mayat hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.-DayakDaily