Lelaki ditemui mati dipercayai terlibat dalam kemalangan kendiri

Pasukan bomba dan petugas perubatan memeriksa keadaan mangsa.

Oleh Dean Adam

SIBURAN, Feb 18: Seorang lelaki ditemui mati selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Kuching Outer Ring Road, Mambong di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, identiti mangsa masih belum diketahui lagi.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.52 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang lelaki dalam keadaan sudah tidak bernyawa berdekatan dengan motosikal.

“Jika dilihat dari keadaan motosikal tiada unsur bahawa motosikal mangsa telah dilanggar,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa sudah diserahkan kepada petugas perubatan untuk melakukan pemeriksaan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily