Lelaki ditemui mati di Telaga Air

Mayat mangsa ditemui di kawasan semak Kampung Selang Laut, Telaga Air.

KUCHING, 2 Jan: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan semak Kampung Selang Laut, Telaga Air Kuching pada Isnin (1 Jan).

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mayat mangsa ditemui orang awam yang kemudian terus melaporkan kepada pihak polis sekitar jam 9.30 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat seorang lelaki dijumpai di kawasan semak dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang dua hari.


“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa di jumpai dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Abang Zainal turut menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082- 862233 atau Insp Shahrul Hafizy, Ketua Polis Balai Batu Kawa di talian 013-2299699. — DayakDaily