Lelaki ditemui mati di kedai makan di Bau

Pihak ambulans melakukan pemeriksaan fizikal terhadap mangsa.

KUCHING, 9 Nov: Seorang lelaki berumur 56 tahun ditemui mati di sebuah kedai makan di Bau tengah malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon dalam satu kenyataan, mangsa yang berasal dari Jalan Taiton di Bau itu telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

“Pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian untuk bantuan awal kecemasan mendapati mangsa tidak bernyawa lagi.

“Penolong pegawai perubatan bertugas telah membuat pemeriksaan fizikal mayat dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” dedah beliau.

Menurut Poge lagi, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, rakaman percakapan saksi dan keluarga mangsa akan diambil dalam masa terdekat.

Kes masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. — DayakDaily