MIRI, 3 Feb: Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui tertiarap dengan kesan tembakan pada bahagian kepala di kawasan berhadapan halaman rumah keluarganya di Tukau pada Selasa (2 Feb).
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi, penemuan dilakukan oleh bapa si mati sekitar jam 6 petang.
“Selaras senapang patah juga ditemui berhampiran mayat,” ujar Hakemal.
Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kejadian.
Mayat ditemui dalam keadaan meniarap di kawasan halaman berhadapan rumah si mati.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat sudah dihantar ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat,” ujar Hakemal.
Motif kejadian masih dalam siasatan, katanya. — DayakDaily