Lelaki ditemui mati dalam longkang di Bintulu

PDRM logo

BINTULU, 15 Nov: Mayat seorang lelaki yang belum dikenalpasti identiti ditemui di dalam longkang setinggi dua meter di kawasan Paragon berdekatan Sekolah Kebangsaan St. Anthony, hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam kenyataan medianya berkata mayat mangsa dijumpai orang awam yang kemudian segera melaporkan kepada pihak polis sekitar jam 12.45 tengah hari.

Katanya, anggota polis terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


“Siasatan awal di lokasi mempercayai mangsa tergelincir ke dalam longkang dan mengalami hentakan di kepala ketika cuba menyeberang longkang tersebut yang setinggi dua meter.

“Turut ditemui di lokasi kejadian ialah papan kecil yang dipercayai digunakan menyeberang longkang tersebut,” katanya.

Pemeriksaan pada anggota badan mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kes ini.

“Identiti mangsa juga belum dapat dikenalpasti kerana tiada pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa,” katanya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Justeru orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kapada masyarakat.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang ada kehilangan ahli keluarga, boleh menghubungi pegawai penyiasat SJN Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304. — DayakDaily