Lelaki ditangkap polis, disyaki sorok dadah bawah bantal di Kg Duyoh, Bau


BAU, 25 Jan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 32 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Kampung Duyoh, di sini pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Katanya, semasa diperiksa suspek didapati menyembunyikan dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.52 gram di bawah bantal tempatnya baring.


“Suspek mengaku ada mengambil dadah dua tiga hari yang lepas dan dia juga mengaku mendapat dadah hasil pemberian temannya.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Bahagian siasatan akan terus menjalankan rondaan di sekitar kampung serta memohon kerjasama masyarakat setempat untuk memberi maklumat jika mempunyau maklumat kegiatan dadah,” katanya. — DayakDaily