14 ditangkap, dadah dan peluru hidup dirampas dalam ‘Ops Tapis Khas’ di Serian

Kelihatan anggota operasi melaksanakan pemeriksaan.

SERIAN, 25 Jan: Seramai 14 lelaki ditangkap sepanjang perlaksanaan ‘Ops Tapis Khas’ di daerah tersebut bermula 21 hingga 23 Januari baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di beberapa buah kampung di sekitar Serian dan Simunjan.

Katanya, kesemua suspek berusia 22 hingga 48 tahun dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.


“Hasil saringan awal air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine.

“Pasukan operasi turut merampas 20 tiub ‘straw’ lutsinar serta 12 paket lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan dianggarkan 9.87 gram.

“Turut dijumpai semasa operasi ini adalah lima butir peluru hidup senapang patah pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedah beliau, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berhahaya (ADB) 1952. — DayakDaily