Lelaki ditangkap melakukan khianat dan bersilat di hadapan rumah ibadat

Tangkapan skrin menunjukkan suspek sedang bersilat dengan bersenjatakan pedang.
Advertisement

KUCHING, 11 Ogos: Seorang lelaki ditahan polis kerana membuat khianat di sebuah masjid dan mempamerkan aksi silat sambil memegang sebilah pedang di sebuah rumah ibadat, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 34 tahun dan ditangkap pada jam 1 petang semalam.

Jelasnya, tangkapan adalah susulan dua video mengenai tindakannya yang tular di Facebook.

Advertisement

Menjelas lanjut, beliau berkata pada 9 Ogos lalu, pihaknya menerima satu laporan berkenaan satu video memaparkan tindakan khianat suspek terhadap notis pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) jumlah jemaah yang boleh hadir untuk solat di salah sebuah masjid di Jalan Pinang.

Manakala, katanya pada semalam, satu lagi video membabitkan suspek dikesan berlaku di salah sebuah rumah ibadat di Carpenter Street.

Katanya, suspek dalam video tersebut memaparkan aksi sedang bersilat sambil memegang sebilah pedang.

“Hasil risikan maklumat pihak polis dan maklumat orang awam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata dua kertas siasatan telah dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakitan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun beserta sebatan.

Pada masa sama, beliau berkata suspek turut dikompaun di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 atas kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Katanya suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, namun hasil ujian saringan awal mendapatinya negatif dadah.

Ahsmon berkata tahanan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon di Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk siasatan lanjut. — DayakDaily

Advertisement