Lelaki ditangkap ‘kayo-kayo’ bawa dadah di Jalan Astana awal pagi

Tujuh paket berisi syabu yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 15 Mei: Seorang lelaki ditangkap ‘kayo-kayo’ (berkeliaran) di Jalan Astana, di sini bersama dengan tujuh bungkusan kecil berisi dadah jenis syabu awal pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek berusia 37 tahun yang bermotosikal itu ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang melakukan rondaan sekitar jam 3.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai sebanyak tujuh paket plastik berisi dadah jenis syabu kira-kira 5.23 gram bernilai sekitar RM523 di dalam poket baju yang dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Suspek seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan sehingga 9 kali,” katanya.

Tambahnya, suspek juga mengaku terlibat kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun 2020.

“Hasil siasatan awal, suspek memperolehi dadah secara bank-in dari seorang pengedar di sekitar Kuching.

“Tindakan selanjutnya sedang dilakukan untuk mengesan pengedar tersebut,” katanya.

Suspek selepas itu juga diarahkan menjalani saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Merbin turut memohon kerjasama  masyarakat dalam usaha membasmi gejala penyalahgunaan dadah secara total.

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat jika terdapat masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan segera,” katanya. — DayakDaily